Wednesday, May 26, 2010

MISTERI BATANG POKOK DIBALUT SULAMAN

NEWARK, Amerika Syarikat - Seorang individu misteri di West Cape May di New Jersey membalut dahan beberapa pokok dan tiang lampu dengan sulaman pada waktu malam.

Mereka menggelarkan individu terbabit sebagai Penyulam Tengah Malam dan kegiatan itu menyebabkan batang-batang pokok dan tiang-tiang lampu berubah menjadi seperti baju sejuk kecil yang berwarni-warni.

Datuk Bandar, Pam Kaithern berkata, pihak polis sedang memburu gerila pengait itu yang secara teknikal dianggap sebagai melanggar undang-undang kerana menyulam jahitan terhadap harta benda awam tanpa kebenaran.

Namun sebuah akhbar tempatan melaporkan, datuk bandar itu dan ramai penduduk mengakui terpesona dengan suasana warna-warni yang ceria akibat balutan tersebut.

IKAN 'TEGAP'

LONDON - Beberapa saintis telah berjaya menghasilkan ikan trout yang genetiknya telah diubah dan perutnya mempunyai 'otot' seperti ahli sukan bina badan, lapor sebuah akhbar semalam.

Ikan mutan itu merupakan hasil usaha selama sedekad Terry Bradley yang merupakan seorang profesor perikanan dan akuakultur di Universiti Rhode Island.

Ikan trout itu mengalami peningkatan jisim otot di antara 15 hingga 20 peratus lebih tinggi berbanding ikan biasa.

Peningkatan jisim otot akan memberi manfaat komersial apabila ikan ternakan boleh menjadi lebih besar tanpa perlu menambah jumlah makanannya.

IKAN YU PAUS 2 TAN DITEMUI

Pasir Puteh - Penduduk Tok Bali di sini gempar apabila sekumpulan nelayan laut dalam membawa pulang seekor ikan yu paus dipercayai spesies purba di Pangkalan Kekal Lestari malam semalam. Ikan seberat dua tan itu ditemui ketika nelayan tersebut memasuki kawasan pulau berdekatan Kuala Besar, Kota Bharu untuk mencari perlindungan daripada ancaman laut bergelora. Tekong bot tersebut, Ek Chai Suwanpong, 46, berkata, ikan spesis Rhino-Typicus sepanjang tujuh meter itu ditemui kira-kira pukul 8 pagi semalam.

RUPA BENTUK PLANET MARIKH

WASHINGTON - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) semalam menyiarkan imej beberapa bentuk bumi bergunung-ganang di planet Marikh.
Gambar-gambar itu dihasilkan berdasarkan rakaman kamera Resolusi Tinggi Pengimejan Eksperimen Sains (HiRISE) pada sebuah kapal angkasa penjelajah Marikh miliknya. Ia turut menunjukkan permukaan Kawah Mojave di bahagian yang dikenali sebagai Xanthe Terra, di tenggara planet itu. Kawah berkenaan mempunyai keluasan 60 kilometer dan merupakan antara kawah paling baru di Marikh.

3 UFO DI SYDNEY


SYDNEY - Seorang wanita, Fiona Hartigan merakamkan gambar yang dipercayai beberapa objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor sebuah akhbar semalam.

Objek berbentuk piring itu muncul di sebalik awan dan menjunam rendah di sebatang jalan raya yang sibuk di sini sebelum memecut ke ufuk barat.

Menurut wanita itu, dia baru sahaja keluar dari keretanya pada petang Ahad lepas untuk merakamkan gambar matahari terbenam apabila kejadian aneh itu berlaku.

"Semasa saya hendak merakamkan gambar, objek hitam ini (UFO) muncul dan mula bergerak pada jarak kira-kira 800 meter tetapi ia semakin dekat," katanya.

"Setelah berada pada jarak kira-kira 400 meter, dua lagi piring terbang kecil muncul di langit tanpa mengeluarkan bunyi," tambah wanita itu.

Menurutnya, UFO besar itu kemudian memecut ke satu arah manakala dua UFO kecil hilang daripada penglihatan.

KATAK BERI AMARAN GEMPA BUMI

PARIS - Sejak berkurun dahulu, manusia berusaha mencari alat yang dapat memberi amaran awal sebelum gempa bumi berlaku.

Usaha itu mungkin berbaloi apabila satu kajian mendapati sejenis katak kecil berwarna coklat mampu meramalkan bila gempa bumi akan terjadi.

Hasil kajian yang dilakukan oleh seorang ahli biologi Britain, Rachel Grant mendapati katak itu yang dikenali sebagai Bufo-bufo jantan memberi amaran awal lima hari mengenai gempa bumi yang telah memusnahkan bandar L'Aquila di tengah Itali pada 6 April, 2009 dengan menyebabkan 300 orang maut manakala 40,000 lagi hilang tempat tinggal.

Grant yang terlibat dalam projek pemantauan Bufo-bufo di Tasik San Ruffino, 74 kilometer ke utara L'Aquila, mendapati populasi haiwan itu berkurangan dengan mendadak lima hari sebelum gempa bumi melanda.

IMEJ DI PENJARA PENGGANAS AS


WASHINGTON – Setiap hari tahanan di penjara Guantanamo milik Amerika Syarikat (AS) di Cuba akan menghadiri kelas kemahiran hidup dan bersenam tetapi kaki mereka dirantai serta dikawal ketat oleh pengawal-pengawal bersenjata, lapor sebuah akhbar semalam.

Senario tersebut merupakan rutin harian tahanan itu yang pertama kali didedahkan kepada umum semalam menerusi beberapa imej terbaru.

Setelah aktiviti membosankan itu selesai, mereka akan mengisi perut dengan makanan yang dihantar dengan sebuah kereta tolak. Setiap tahanan kemudian akan diperiksa dengan ketat sebelum dibenarkan kembali ke sel masing-masing.

Gambar-gambar itu diluluskan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) untuk disiarkan kepada umum oleh beberapa agensi berita antarabangsa. Ia cuma menggambarkan kehidupan di penjara yang membosankan tetapi deretan gari pada dinding, kamera litar tertutup serta pengawal bersenjata memberi petunjuk bahawa tahanan di sini berdepan keperitan lain, sengsara yang tidak diungkapkan seperti penyeksaan.

Setakat ini, terdapat kurang 200 tahanan di penjara Guantanamo berbanding lebih 780 orang. Penjara itu menjadi tempat banduan pengganas yang ditangkap semasa pemerintahan George W. Bush menjadi Presiden AS.

KELAKUAN BIADAP BUDAK 4 TAHUN


JAKARTA - Rakyat Indonesia digemparkan dengan satu klip video di laman web YouTube yang menunjukkan seorang budak kecil merokok sambil bercakap lucah, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Video selama tiga minit yang dipercayai dirakamkan di kediaman kanak-kanak itu di Jl Nusakambangan No 19 C, Malang, Jawa Timur, dimuat naik pada Ahad lepas dan ditonton sebanyak 1,200 kali sebelum ditarik balik tiga hari kemudian kerana melanggar syarat penggunaan YouTube.

Laman itu menunjukkan seorang budak lelaki berusia sekitar empat tahun dikenali sebagai Sandy W, menghisap sebatang rokok dan menghembus asap berbentuk cincin sambil menjawab soalan daripada beberapa orang dewasa.

Sandy berkata, dia mahu menjadi seorang pencuri apabila dewasa dan wang yang diperoleh akan digunakan untuk melanggan pelacur di Dolly, sebuah rumah pelacuran popular di Surabaya.

Bapanya, Mulud, 50, menyatakan Sandy mula merokok sejak berusia satu setengah tahun dan budak itu tidak mengendahkan laranganya supaya berhenti merokok.

Sementara itu, kumpulan aktivis hak kanak-kanak mahu polis melakukan siasatan supaya mereka yang bertanggungjawab mengajar perilaku negatif kepada budak itu dihadapkan ke muka pengadilan.

WANITA DITAMPAR IKAN KAP


CHICAGO - Seekor ikan kap Asia 'menampar' seorang wanita Amerika Syarikat (AS), Jodi Barnes semasa ia melompat dari Sungai Illinois, lapor sebuah akhbar semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa mengikut satu program sukan memanah ikan kap dari sebuah bot laju kerana spesies liar itu gemar melompat jika mendapati ada bot yang bergerak melintasi sungai tersebut.

Semasa Jodi bersedia untuk memanah ikan kap, seekor ikan kap tiba-tiba melompat dan terus melibas tepat ke mukanya.

Seorang lelaki kemudian bergegas membantu wanita itu yang mengalami sedikit luka pada wajahnya akibat di 'tampar' ikan berkenaan.

MAKHLUK ANEH DITEMUI DI TELUK MEXICO


NEW YORK - Sejenis makhluk aneh yang diberi jolokan pijat-pijat gergasi ditemui di Teluk Mexico, lapor sebuah akhbar semalam.

Panjang makhluk itu ialah 76.2 sentimeter dan ia ditemui di sebuah lokasi pada kedalaman 2,590 meter di Teluk Mexico dekat Amerika Syarikat (AS).

Makhluk itu ditemui sedang melekat pada badan kapal selam yang dihantar ke dalam laut dari sebuah pelantar minyak di Teluk Mexico baru-baru ini.

Seorang pakar evolusi dari Pusat Evolusi Sintesis Carolina Utara, Profesor Craig McClain berkata: "Beberapa makhluk sepertinya bersaiz lebih besar lagi."

API BENTUK WAJAH MANUSIA



JAKARTA - Api yang sedang marak membentuk wajah seperti muka manusia di Pasar Kebayoran Lama, Jakarta Selatan, lapor akhbar Kompas.com semalam. Pada kebakaran yang berlaku semalam itu, api tersebut membentuk mata, kening dan hidung. Gambar itu, menurut akhbar berkenaan, dirakamkan oleh jurugambar Bian Harnansa semasa anggota-anggota jabatan bomba sedang memadamkan kebakaran.

HAIWAN ANEH DITEMUI DI CHINA

BEIJING - Para saintis bingung menentukan spesies seekor haiwan aneh yang ditemui di satu lokasi hutan di tengah China, lapor sebuah akhbar semalam.

Haiwan tidak berbulu itu memasuki jerat sekumpulan pemburu di wilayah Sichuan selepas penduduk tempatan melaporkan mereka ternampak haiwan yang disangkakan seekor beruang.

"Ia seperti seekor beruang. Namun, haiwan itu tidak mempunyai bulu tetapi ia mempunyai ekor seperti kanggaru.

"Haiwan itu tidak mengeluarkan bunyi seperti beruang. Suaranya lebih mirip seekor kucing dan sentiasa berbunyi," kata salah seorang pemburu itu, Lu Chin.

Menurutnya, sebelum ini terdapat cerita rakyat bahawa seorang lelaki telah bertukar menjadi seekor beruang.

"Ada orang yang menganggap kami telah menangkapnya," kata Chin.

Pakar haiwan akan menghantar haiwan misteri itu ke Beijing. Sepasukan saintis di Beijing akan cuba untuk mengetahui spesies haiwan itu dengan melakukan ujian asid deoxyribonucleic (DNA).

BIAWAK GERGASI BARU DITEMUI


PARIS - Para saintis biologi di sini semalam melaporkan penemuan satu spesies biawak gergasi di kawasan hutan utara Pulau Luzon, Filipina baru-baru ini. Penemuan mengejutkan haiwan liar berukuran dua meter panjang itu disiarkan menerusi jurnal saintifik Biology Letters terbitan Royal Society di Britain.

Cicak itu ditemui di sebatang sungai berlembah di Filipina. Haiwan itu cuma makan buah-buahan hutan. Cicak jantan itu mempunyai dua zakar. Salah satu sebab kenapa cicak itu tidak dapat dikesan ialah kerana ia tidak pernah meninggalkan kawasan hutan yang menjadi tempat tinggalnya.

SEROMBONG GUNUNG BERAPI PALING DALAM


LONDON - Satu ekspedisi saintifik Britain mendakwa berjaya menemui serombong gunung berapi bawah laut paling dalam di dunia yang terletak berhampiran Kepulauan Cayman.

Kumpulan ekspedisi berkenaan yang menaiki kapal RRS James Cook berkata, serombong itu ditemui lima kilometer dari permukaan laut Carribean.

Ia terletak di satu kawasan yang dikenali sebagai Jurang Cayman, sebuah lurah di dasar laut yang sebelum ini diadaptasi dalam filem arahan James Cameron, The Abyss.

Kedalaman kawah gunung berapi dan lokasi yang jauh itu meningkatkan harapan bahawa hidupan baru dan eksotik mungkin ditemui hidup dalam air yang panas dan kaya dengan mineral di sekitarnya.

METEOR MELETUP DI AMERIKA SYARIKAT


MADISON - Sebutir meteor yang besar telah menerangkan ruang angkasa Wisconsin, Iowa, Illinois dan Missouri, Amerika Syarikat (AS) sekali gus menghasilkan satu bunyi letupan sonik yang menggegarkan rumah-rumah serta boleh didengari ratusan kilometer jauhnya pada malam Rabu lalu.

Bebola api gergasi itu juga telah menukar suasana gelap menjadi hijau. Ia boleh dilihat dalam tempoh 15 minit, kira-kira pada pukul 10 malam pada waktu tempatan.

Beberapa imej yang dramatik berkaitan insiden itu dirakamkan secara tidak sengaja oleh kamera video polis di Iowa. Seorang ahli astronomi, Mark Hammergren berpendapat meteor itu amat besar.

"Jika ia cukup untuk menerangkan ruang udara seperti waktu siang dan menghasilkan bunyi letupan sonik, ia pasti bersaiz besar. Kalau berlaku pada waktu siang, orang ramai pasti boleh melihat kesan asap di udara," katanya.

Setakat ini, tiada sebarang kecederaan atau kerosakan dilaporkan.

TUPAI PERTAHAN BANGKAI RAKAN


LONDON - Seekor tupai sanggup berhadapan bahaya demi mempertahankan bangkai rakannya daripada menjadi hidangan sekumpulan burung gagak, lapor sebuah akhbar semalam.

Sekumpulan burung gagak itu terpaksa melupakan niat untuk menjadikan bangkai seekor tupai yang mati kerana terdapat seekor tupai yang tidak membenarkan haiwan itu memakannya. Satu rakaman video menunjukkan kesetiaan tupai tersebut terhadap rakannya sehingga ia sanggup menghalang tiga ekor burung gagak memakan bangkai rakannya di sebatang jalan raya.

Klip video itu dapat dilihat di laman YouTube dan ia telah ditonton oleh lebih 500,000 penonton. Dalam rakaman tersebut, tupai itu melompat sambil menggerakkan ekor bagi memberi isyarat supaya burung gagak itu beredar.

Namun, seekor demi seekor gagak mendekati bangkai itu. Tupai itu kemudian berdiri dan dilihat berbaring di tepi bangkai rakannya seolah-olah ia bersedia untuk menerkam burung gagak menyebabkan haiwan berkenaan melupakan hasrat untuk memakannya.

BERBOGEL SAMPAIKAN PROTES KEAMANAN


LONDON - Seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an duduk berbogel di bumbung sebuah teksi di sini kelmarin sambil melakukan aksi senaman yoga bagi membantah peperangan di Afghanistan, lapor sebuah akhbar semalam.

Wanita tersebut turut berdiri dan menjerit meminta askar-askar asing keluar dari Afghanistan.
Anggota-anggota polis kemudian menutup tubuh wanita itu dengan kain dan menahannya buat seketika.

Namun aksi wanita itu di Westminster Square telah menyebabkan kesesakan jalan raya sehingga ada pelancong yang merakamkan gambarnya.

888888888 NOMBOR MATI?

SOFIA - Nombor telefon bimbit 888888888 telah digantung perkhidmatannya di Bulgaria selepas tiga pengguna yang memiliki nombor itu tidak hidup lama, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketua-ketua perkhidmatan telekomunikasi telefon bimbit telah menggantung nombor itu kerana tiga pemilik nombor tersebut mati dalam tempoh 10 tahun. Pemilik pertama nombor itu, Vladimir Grashnov yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat telefon bimbit Mobitel yang mengeluarkan nombor tersebut mati pada 2001 kerana penyakit kanser semasa berusia 48 tahun.

Seorang ketua mafia Bulgaria, Konstantin Dimitrov yang merupakan pemilik kedua nombor itu mati pada 2003 selepas ditembak di Armsterdam, Belanda dalam satu lawatan untuk memeriksa empayar dadahnya semasa berumur 31 tahun. Dia ditembak semasa makan bersama seorang model wanita yang cantik.

Seorang ahli perniagaan, Konstantin Dishliev yang mengendalikan operasi penyeludupan kokain dan menjadi pemilik nombor itu turut ditembak mati di luar sebuah restoran India di sini pada 2005. Dia mati selepas sejumlah dadah miliknya dipintas oleh polis semasa dalam perjalanan ke Bulgaria dari Colombia.

Sejak Dishliev mati, nombor itu tidak digunakan lagi. Pemanggil yang menghubungi nombor itu akan menerima satu mesej bagi memberitahu bahawa telefon bimbit bernombor 888888888 berada di luar kawasan liputan.

IKAN EMAS BERMAIN ALAT MUZIK

MILWAUKEE, Amerika Syarikat - Sepasang suami isteri di Wisconsin, Stu dan Diane Rains memiliki seekor ikan emas pertama di dunia yang pandai bermain alat muzik, lapor sebuah akhbar semalam.

Haiwan peliharaan itu boleh bermain alat muzik loceng tangan dan gemar memainkan alat muzik itu semasa lagu-lagu penyanyi veteran Barbra Streisands berkumandang. Ikan bernama Jor Jor yang berusia dua tahun itu akan meniup satu saluran di dalam akuariumnya yang disambung pada alat-alat muzik di luar akuarium tersebut.

"Jor Jor memang pemuzik unik, ia juga suka mendengar lagu Moon River oleh penyanyi Barbra Streisand sebelum memainkan loceng untuk beberapa saat dengan menggunakan mulut dan kemudian berenang," kata Diane, 54.

DITIMBUS SAMPAH DALAM RUMAH

CHICAGO - Anggota-anggota bomba telah dikerahkan bagi menyiasat kehilangan sepasang suami isteri sejak tiga minggu lalu di sebuah rumah selepas mendapat aduan daripada jiran-jiran.

Namun, apa yang mengejutkan ialah mereka menemui pasangan itu tertimbus dalam keadaan tidak bermaya di bawah timbunan sampah di dalam rumah mereka. Pasangan suami isteri yang berusia 79 tahun dan 76 tahun itu telah dijumpai pada malam Isnin lepas.

Jiran yang bimbang mengenai kehilangan mereka telah menghubungi pihak polis namun gagal memasuki rumah ekoran sampah yang memenuhi ruang sehingga ke siling.

"Rumah tersebut dipenuhi dengan pelbagai bahan buangan termasuk makanan yang telah rosak, baju, kertas malah tayar. "Setakat ini, bagaimana mereka ditimbus masih belum diketahui," kata jurucakap bomba, Larry Langford.

Kedua-dua mereka masih dirawat di Hospital Jackson Park.

CAHAYA GANJIL DI BARAT KANADA

VANCOUVER - Cahaya aneh dilaporkan muncul di barat Kanada menyebabkan beberapa pakar menyatakan ia adalah penemuan objek terbang yang tidak dikenali (UFO), lapor sebuah akhbar.
Cahaya berbentuk bebola itu turut membentuk lingkaran sebelum bersinar dengan terang dan hilang secara tiba-tiba. Fenomena tersebut yang dirakamkan baru-baru ini oleh seorang lelaki, Steven Murray telah disiarkan oleh sebuah akhbar pada Isnin lepas manakala klip videonya boleh ditonton di laman perkongsian video, YouTube.

"Saya memasang empat kamera untuk merakamkan imej tahi bintang. Kamera nombor tiga yang merakamkan fenomena ini," kata Murray.

"Saya melihatnya dari pejabat saya semasa sedang bekerja. Objek itu berada di skrin monitor. Apabila saya bergegas keluar, objek tersebut sudah hilang tetapi sejurus kemudian saya mendengar bunyi dentuman yang amat kuat," tambahnya.

Lingkaran cahaya itu menyerupai lingkaran cahaya di langit Norway pada 9 Disember tahun lalu yang pada awalnya disangka sebagai UFO tetapi ia kemudian dianggap berpunca daripada satu ujian peluru berpandu Rusia yang menemui kegagalan.

Ramai pembaca bagaimanapun, sangsi dengan peristiwa ganjil itu dan tidak kurang yang menyatakan ia adalah palsu dan dibuat dengan menggunakan teknik pengimejan penjanaan komputer.

DRAMA ANGKASAWAN DI ISS


STESEN ANGKASA LEPAS ANTARABANGSA (ISS) - Seorang angkasawan, Garrett Reisman cemas selepas dia terkandas setengah jam di luar ISS kerana gangguan tenaga, lapor sebuah akhbar semalam.

Angkasawan berusia 42 tahun itu berada di ruang angkasa lepas di luar ISS lebih dua jam kerana membaiki kerosakan pada sebuah antena kelmarin apabila stesen berkenaan yang terletak 400 kilometer dari bumi mengalami masalah gangguan tenaga.

Masalah berlaku apabila komputer pusat ISS tiba-tiba padam manakala sistem komputer sokongan pula gagal menghidupkan tangan robotik sepanjang 17 meter yang digunakan dalam kerja-kerja pembaikan antena tersebut.

Reisman dan rakannya, Piers Sellers menarik nafa lega apabila sistem komputer itu yang dikawal oleh pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dari bumi, berjaya dibaik pulih sekali gus membolehkan kedua-dua angkasawan itu meneruskan misi mereka.

NAMA JALAN DENGAN POSISI PEMAIN BOLA


PEKAN ALEXANDRA, Afrika Selatan - Beberapa batang jalan raya di sini mengandungi nama-nama posisi pemain dalam sukan bola sepak.

Antara nama jalan itu ialah seperti Midfielder bermaksud pemain tengah, Striker yang bermakna penyerang, Off Side atau ofsaid dan Corner merujuk kepada tendangan sudut.

Jalan-jalan itu terletak di pekan Alexandra yang berada di utara bandar raya Johannesburg.

Nama-nama jalan itu adalah sempena dengan kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan selama sebulan bermula pada 11 Jun depan.

KEANEHAN DI LANGIT PERTH


PERTH, Australia - "Adakah sesuatu yang aneh berlaku di ruang angkasa di sini?", soal sebuah akhbar kelmarin.

Seorang lelaki yang cuma mahu dikenali sebagai Mark menganggap berlaku keanehan di ruang angkasa Perth setelah dia merakamkan beberapa objek ganjil di sekitar bandar raya itu.

"Kebanyakan orang hanya meluangkan masa untuk melihat di sekeliling mereka.

"Namun, mereka jarang mendongak ke langit sedangkan perkara aneh dan menarik berlaku di langit pada setiap masa," kata Mark yang merakamkan gambar di langit Perth lebih 10 tahun lalu.

"Sesetengah benda yang saya rakam kelihatan aneh dan saya tidak dapat menerangkannya," tambahnya.

MUKA SEPERTI MAKHLUK ASING

Igor (kiri) dan kembarnya, Grichka yang memiliki wajah seperti makhluk asing menghadiri satu parti di Cannes, Perancis kelmarin.

CANNES - Muka satu pasangan kembar yang merupakan pelakon televisyen terkenal di Perancis, Igor Bogdanoff dan Grichka Bogdanoff kini kelihatan seperti wajah makhluk asing yang kerap disiarkan dalam filem dan televisyen, lapor sebuah akhbar semalam.

Pasangan kembar itu sebelum ini popular semasa berlakon dalam siri fiksyen sains Temps X pada 1980-an sebelum menjadi peminat pembedahan plastik. Muka pasangan kembar itu menjadi seperti wajah makhluk asing yang dipaparkan dalam filem dan televisyen akibat kesan terlalu banyak menjalani pembedahan plastik.

Gambar wajah mereka seperti makhluk asing itu dirakamkan oleh jurugambar semasa mereka menghadiri satu parti di Cannes, Perancis kelmarin. Mereka difahamkan menjalani banyak pembedahan plastik di bahagian pipi dan dagu termasuk menggunakan Botox.

KAPAL UDARA TERBESAR DI DUNIA

MONTGOMERY, Amerika Syarikat (AS) - Kapal udara terbesar di dunia yang dinamakan sebagai Bullet 580 akan menjalani ujian penerbangan pada musim panas ini.

Kapal udara sepanjang 71.62 meter dan berdiameter 19.18 meter itu dibina oleh syarikat E-Green Technologies dengan menggunakan sejenis bahan nipis tetapi 10 kali ganda lebih kukuh berbanding besi.

"Ia cukup perlahan untuk menikmati pemandangan dari udara, boleh membawa kargo sehingga berat 907 kilogram pada ketinggian 6,000 meter dan boleh dikawal dengan menggunakan alat kawalan jauh atau dikendalikan oleh seorang krew," kata Ketua Pegawai Eksekutif E-Green Technologies, Mike Lawson.

Kapal udara itu berharga AS$7.8 juta (RM25.7 juta) dan dibekalkan oleh tujuh beg berisi gas helium dan bergerak pada kelajuan 56 kilometer sejam. Kapal itu akan melakukan misi mengukur kelembapan bumi dengan kerjasama Universiti Old Dominion dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan milik AS.

BAYI DI TENGAH JALAN


SAN ANTONIO, Amerika Syarikat (AS) - Satu rakaman kamera video yang disiarkan kelmarin menunjukkan seorang bayi perempuan yang memakai lampin duduk berseorangan di tengah sebatang jalan raya di sini pada tengah malam, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang lelaki yang sedang memandu sebuah bas di jalan itu, Mike Hubbard pada mulanya menyangka bayi tersebut merupakan seekor anjing. Namun, dia bertindak menghentikan basnya dengan tiba-tiba selepas mendapati bayangan seperti haiwan itu sebenarnya seorang bayi yang memakai lampin.

"Saya tidak dapat mengenal pasti apakah sebenarnya yang terdapat di atas jalan itu. Ia seperti seekor anjing dan bergerak di sekitarnya. Saya mula memperlahankan bas dan kemudiannya saya mengetahui bahawa terdapat seorang bayi di tengah jalan," katanya kepada stesen televisyen WOAI-TV.

Menurutnya, dia kemudian turun dari bas dan mendapati bayi itu mungkin berumur lapan bulan dan matanya besar kerana memerhati bas di hadapannya. Namun, tiba-tiba, bapanya muncul dan terus melarikan anaknya manakala pemandu berkenaan membuat laporan kepada sebuah agensi perkhidmatan perlindungan kanak-kanak.

Kejadian itu dirakamkan pada Mei tahun lalu oleh kamera video yang terdapat di papan pemuka bas tersebut tetapi hanya didedahkan kelmarin dalam kes untuk mendapatkan hak penjagaan anak itu antara bapa dan ibu bayi berkenaan.

Menurut ibu bayi itu, Catherine Gonzalez, 25, semasa kejadian, dia dan suaminya mendengar bunyi hon dan bas membrek dengan tiba-tiba di luar rumah. Catherine berkata, dia tidak mengetahui bagaimana anaknya itu boleh keluar dari rumah.

KENDERAAN 'TIGA ALAM'




Semua kita tahu yang hoverkraf merupakan kenderaan yang dicipta untuk 'dua alam' kerana kebolehannya untuk meluncur laju di atas air dan juga bergerak di atas jalan atau tanah. Bagaimanapun, kita mungkin termenung sejenak apabila mengetahui terdapat kenderaan itu yang boleh beroperasi dalam 'tiga alam' pula kerana ia bukan sahaja mampu beroperasi di atas air dan tanah, tetapi juga terbang di udara!

Hoverkraf yang pertama sebenarnya dicipta oleh Sir Christopher Cockerell pada 1956 dan ia merupakan kenderaan yang bergerak menggunakan tekanan udara dan tidak bergantung kepada tayar seperti lain-lain kenderaan darat atau kipas untuk kenderaan laut. Cara hoverkraf beroperasi adalah menggunakan tekanan angin ke bawah bertujuan menaikkan kenderaan itu beberapa inci dari permukaan air atau tanah dan tekanan angin ke belakang pula akan mengerakkannya ke hadapan.

Terdapat pelbagai jenis hoverkraf di pasaran sama ada yang digunakan sebagai bot kecil atau feri yang mengangkut penumpang di pelabuhan. Bagaimanapun perkembangan hoverkraf tidak berhenti setakat itu kerana terdapat beberapa usaha untuk meningkatkan kemampuan kenderaan itu termasuk terbang di udara setinggi beberapa meter.

Rudy Heeman dari Nelson, New Zealand misalnya merupakan seorang daripada beberapa pencipta di seluruh dunia yang berminat untuk menerbangkan hoverkraf. Dalam ciptaannya, Heeman mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk membangunkan hoverkraf terbangnya yang dilakukan secara sambilan. Secara asasnya, mesin ini beroperasi sebagai sebuah bot asalkan ia tidak mencapai kelajuan 70 kilometer sejam (km/j) kerana selepas kelajuan itu, ia akan terbang ke udara. Kelajuan maksimumnya ialah 100 km/j.

Mesin yang menggunakan enjin 1.8 Subaru itu juga boleh bergerak sejauh 225 km dan sayapnya boleh dibuka daripada badan kenderaan. Apabila terbang, mesin ini hanya boleh dinaiki oleh dua orang dengan jumlah berat 160 kilogram tetapi ia boleh membawa tiga orang apabila beroperasi sebagai hoverkraf.



Hoverkraf ini boleh terbang setinggi tiga meter dan pengendalinya tidak memerlukan lesen penerbangan kerana mesin ini hanyalah sebuah bot. Heeman berkata, beliau menghabiskan masa lebih 800 jam dan beribu dollar untuk membangunkan mesin yang kini ditawarkan untuk jualan di Internet.

"Mesin ini sangat sesuai untuk petani kerana anda boleh terus masuk ke dalam ladang tanpa perlu membuka pintu pagarnya," kata Heeman.

Sebelum Heeman, sebenarnya terdapat juga syarikat dari Rockford, Illinois, Amerika Syarikat yang telah membangunkan hoverkraf boleh terbang untuk pasaran komersial. Syarikat Universal Hovercraft telah memperkenalkan hoverkraf dikenali sebagai 19XRW Hoverwing yang boleh digunakan untuk tujuan rekreasi, perindustrian, komersial dan ketenteraan.

Hoverkraf ini boleh terbang hingga 1.8 meter apabila mencapai kelajuan 120 km/j. Bagaimanapun, jika perlu melalui halangan lebih tinggi, ia mampu 'melonjak' sehingga enam meter. Seperti juga hoverkraf Heeman, sayap bagi Hoverwing boleh dibuka dan ia boleh dilakukan dalam masa 10 minit sahaja.

Sebaik sayap dibuka, Hoverwing akan berada dalam mod Sport yang mana ia menjadi hoverkraf berkuasa dan mampu membawa sehingga enam penumpang untuk memasuki kawasan-kawasan yang sukar diakses oleh bot atau kereta. Kelebihan Hoverwing juga ialah ia boleh diubahsuai untuk memenuhi keperluan penumpang untuk beroperasi di kawasan berair, berpasir, berlumpur, paya atau salji.

Setakat ini, Universal Hovercraft hanya menjual kenderaan ini untuk tujuan komersial, perindustrian, menyelamat dan ketenteraan sahaja dengan harga kira-kira RM270,000.

TURKI ARAH KAYU BAHTERA NABI NUH DIBAWA KELUAR DISIASAT

ANKARA - Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Turki, Ertugrul Gunay mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengetahui bagaimana serpihan kayu yang didakwa daripada bahtera Nabi Nuh berjaya dibawa keluar dari negara itu ke China, lapor media semalam.

"Bagaimanakah objek-objek itu boleh berada di sana (China)?," kata Ertugrul. Kenyataan itu disiarkan oleh akhbar Milliyet semalam.

Satu ekspedisi dari China dilaporkan telah mempamerkan serpihan kayu yang didakwa daripada bahtera Nabi Nuh pada satu sidang media pada awal minggu ini di Hong Kong. Kumpulan ekspedisi yang mengandungi 15 anggota tersebut mendakwa serpihan itu ditemui di dalam lereng Gunung Ararat pada ketinggian 4,000 meter di timur Turki. Pada sidang akhbar yang diadakan pada awal minggu ini, salah seorang anggota ekspedisi itu yang merupakan seorang pembikin filem dokumentari, Yeung Wing-cheung berkata pihaknya 99.99 peratus yakin telah menemui bahtera Nabi Nuh.

Kumpulan ekspedisi berkenaan mendakwa telah menemui spesimen kayu dan ujian penentuan tarikh karbon mendapati serpihan kayu yang ditemui di Gunung Ararat itu berusia 4,800 tahun iaitu tarikh yang dianggap berlakunya banjir besar di zaman Nabi Nuh. Menurut kitab Injil, banjir besar itu berlaku selepas banyak kejahatan berlaku di bumi menyebabkan Nabi Nuh diminta membina bahtera dan membawa bersamanya sepasang haiwan daripada setiap spesies.

Ertugrul berkata, siasatan itu juga bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai kehadiran seorang pegawai Turki pada sidang akhbar penemuan bahtera Nabi Nuh di Hong Kong. Pegawai itu hadir tanpa kebenaran daripada pemerintah Turki. Namun, menteri tersebut menegaskan, beliau menyokong penemuan bahtera Nabi Nuh itu di Turki dengan memujinya sebagai satu bonus untuk sektor pelancongan.

SALAHKAH SAYA DIPERKOSA?

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih saya buat Putri yang sudi membaca luahan hati saya ini. Saya sekian lama saya memendamkan masalah ini.

"Malam bertandang, hati berbisik mengenang cerita derita yang daku pendam. Kata menguji cuba untuk ku sudahi berulang air mata membasahi. Aku kini perlu berdiri walau hakikatnya pastikan melukai. Aku ingin semua rasai kerana pengakhirnya hidup ku sendiri. Oh Tuhan Kau berikan aku segala kekuatan meneruskan perjalanan hidupku." Begitulah bait-bait lirik lagu yang menjadi kekuatan saya.

Siapa sangka, lelaki yang sangat saya percayai telah menodai diri ini. Kerana cinta, saya hanyut dan menyerahkan segala-galanya. Mujurlah saya tidak berbadan dua iaitu mengandung anak luar nikah. Jika tidak apa akan terjadi kepada bayi berkenaan. Semuanya terjadi tanpa kerelaan saya. Cinta monyet telah membuatkan saya leka dan akhirnya saya diperkosa.

Pada mulanya memang saya tidak berniat untuk membuka pekung di dada sendiri, tapi saya tidak mampu lagi menanggung seorang diri akibat cerita silam. Peristiwa hitam hidup saya ini terjadi ketika saya di zaman remaja, ketika masih di alam persekolahan. Entah dari mana datangnya kekuatan untuk melindungkan apa yang terjadi dari pengetahuan kedua-dua orang tua saya. Syukur ke hadrat Ilahi, ia tidak berpanjangan. Namun, selepas kejadian itu, saya menjadi semakin tidak menentu. Saya takut ditinggalkan apatah lagi dia sudah mulai berubah. Jika dulu, setiap hari dia akan menelefon saya. Tetapi sekarang, dia jarang bersms atau menelefon saya. Masa tu dunia saya bagaikan gelap, tiada siapa pun yang mampu menolong saya.

Itu kisah zaman remaja saya. Namun, segala-galanya berubah sehingga saya meningkat dewasa dan bertemu dengan seorang jejaka yang amat saya cintai. Kini, dia mahu meminang saya dan mengikat hubungan serius. Hati saya memberontak, takut, macam mana nak saya terangkan pada dia. Perlukah saya ceritakan kisah silam saya?

Saya memberanikan diri untuk berterus terang. Dengan keberanian saya luahkan isi hati pada lelaki ini tetapi kekecewaan yang saya perolehi. Dia tidak dapat terima saya Putri. Walaupun itu bukan kesalahan saya dan saya tak pernah meminta semua ini terjadi. Dia tetap tidak dapat menerima saya.

Masa itu saya merasakan dunia begitu kejam. Salahkah saya hanya kerana saya pernah diperkosa. Kejamnya perasaan seorang lelaki. Saya menangis dan kecewa kerana sikap jujur saya tidak diterima. Malah kebahagiaan yang saya harapkan musnah. Setelah mengetahui kedudukan diri saya, si dia berdiam diri, tiada sebarang keputusan diberi. Kalau dia mampu melihat hati saya, pasti dia tahu betapa remuknya jiwa dan raga ini.

Akhirnya saya yang membuat keputusan untuk memutuskan hubungan yang kami. Saya tak sanggup menanti jawapan dan keputusan daripadanya. Peristiwa ini benar-benar menyeksa jiwa dan hati saya. Kepada semua lelaki di luar sana, terimalah pasangan anda seadanya. Mungkin kisah silam dan perit mereka lalui bukan atas kerelaan. Bagi remaja yang sedang leka bercinta, berhati-hatilah dan hargailah kehormatan yang anda miliki.

Zuri, Johor.



**Respon POGOL Crew_nororongou.com

Zuri,

Cinta itu buta sehingga kita sanggup melakukan apa sahaja demi cinta. Tanpa kita sedari pengorbanan yang kita lakukan akhirnya meninggalkan luka yang amat dalam. Sehinggakan kita tidak boleh mengubah takdir itu. Buat Zuri, janganlah berputus asa. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini. Siapa tahu, anda bakal bertemu dengan seorang lelaki yang boleh menerima kekurangan diri anda. Sebaiknya, pada masa akan datang, Zuri meminta pendapat daripada ustazah atau mereka yang mahir tentang agama berkaitan perkara ini. Tanyakan pendapat mereka, perlukah Zuri berterus terang atau tidak. Dalam hal ini, tidak semua lelaki akan memandang serong wanita yang mempunyai kisah silam seperti Zuri. Sebagai wanita, kita perlu bijak membuat keputusan untuk memilih lelaki yang menerima kita seadanya.

Kepada remaja di luar sana, jadikan kisah ini sebagai pengajaran. Jangan sekali-kali menggadaikan maruah hanya kerana cinta. Bila nasi sudah menjadi bubur, terlalu sukar untuk kita kembali kepada kehidupan normal semula. Apa yang boleh dilakukan, perbaiki diri dan mencari semangat baru untuk hidup.

MAKHLUK ANEH DI KANADA


TORONTO, Kanada - Satu bangkai makhluk ganjil ditemui selepas seekor anjing menariknya ke tepi sebuah tasik di bandar Kitchenuhmaykoosib di Ontario, Kanada, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut sebuah laman web di bandar itu, ia pada mulanya ditemui oleh seekor anjing yang bernama Sam the Dog pada minggu pertama bulan ini. Anjing itu milik salah seorang daripada dua jururawat yang sedang berjalan di tepi tasik tersebut. Haiwan itu menarik bangkai makhluk aneh itu dari dalam air selepas ia menghidu sesuatu di tasik berkenaan. Kedua-dua jururawat itu merakamkan gambar makhluk ganjil tersebut sebelum meninggalkannya.

Namun, apabila sejumlah penduduk tempatan memutuskan untuk kembali ke tempat bangkai tersebut selepas mereka mengetahui penemuannya, makhluk aneh itu didapati telah hilang. Makhluk aneh tersebut mempunyai rambut panjang dan orang ramai mula membuat spekulasi mengenai spesies ganjil itu. Kebanyakan orang menganggap ia mungkin raksasa Montauk kerana terdapat persamaan dengan satu lagi mahkluk ganjil yang ditemui di Montauk, New York pada 2008.

KEMARUK SEKS DI HOTEL MURAH

DUNGUN – Seorang wanita yang sudah bertunang sanggup menjadikan hotel murah di pantai peranginan Kuala Abang, di sini sebagai tempat memuaskan nafsu bersama lelaki lain, gara-gara kemaruk seks.

Hubungan sulit itu terbongkar apabila rumah tumpangan yang disewa secara bulanan oleh lelaki itu diserbu pihak berkuasa, petang kelmarin.

Ketika serbuan dibuat kira-kira jam 5 petang, wanita yang berasal dari Kampung Seberang Pintasan itu dikatakan baru selesai melakukan perbuatan terkutuk bersama teman lelakinya yang bekerja sebagai penjual ikan di Kompleks Perikanan Kuala Dungun.

Setelah disoal siasat penguat kuasa, wanita itu mengaku sudah beberapa kali memuaskan nafsu dengan teman lelakinya yang berasal dari Kampung Baru Kuala Abang.

“Kami pernah melakukan perkara sama beberapa kali sebelum ini di beberapa lokasi, jadi bila dia menyewa bilik di sini, dia menjemput saya ke sini untuk puaskan nafsu,” katanya.

Wanita itu yang merupakan anak keempat daripada lima beradik memberitahu :Sinar Harian: bahawa dia bakal melangsungkan perkahwinan dalam tempoh terdekat.

Katanya, dia juga pernah melakukan perkara sama beberapa kali bersama tunangnya ketika bermalam di rumah bakal mentuanya.

"Bagi mengelakkan perbuatan itu diketahui, kami melakukannya pada lewat malam di dalam bilik tunang saya setelah kedua-dua orang tua nyenyak.

“Bila jumpa kawan saya di hotel, kami puaskan nafsu juga tetapi perbuatan saya ini tidak diketahui tunang saya," katanya.

Sementara itu, hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang ditahan terlibat penyalahgunaan dadah.

Polis menemui tiga paket plastik di atas meja di dalam bilik hotel dan setiap satu mengandungi 10 pil kemerahan disyaki pil kuda.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor yang mengesahkan tangkapan itu berkata, lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Ujian air kencing mendapati wanita itu positif dadah dan dia ditahan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ketua Penguat kuasa Syariah, Jabatan Agama Daerah Dungun, Yusuf Musa mengesahkan pasangan itu turut ditahan mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu kerana kesalahan khalwat.

"Jila jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

JAMBATAN BERALUN


VOLGOGRAD, Rusia - Sebuah jambatan baru di sini sepanjang 7.2 kilometer bernilai AS$393.98 juta (RM1.3 bilion) yang dibuka lapan bulan lalu ditutup pada minggu lalu kerana permukaan jalannya beralun setiap kali angin kencang, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut beberapa laporan, permukaan jalan di atas jambatan itu akan beralun sehingga setinggi 0.91 meter apabila angin kencang bertiup di kawasan tersebut.

Seorang pemandu kereta berkata: "Kereta saya melantun seperti bola. Saya pada mulanya menganggap terdapat sesuatu yang tidak kena dengan suspensi kereta saya."

Menurut seorang lagi pemandu, Andrey Bystrov, dia pada mulanya menganggap tersilap jalan semasa keretanya melantun di atas jambatan itu.

"Saya turut terfikir mungkin ada sesuatu yang berlaku pada suspensi kereta saya.

"Saya kemudiannya melihat kenderaan lain dan mendapati kereta mereka berayun-ayun," katanya.

Seorang pakar, Vladimir Parshin berkata, angin mungkin punca jambatan galang itu beralun.

Imej beralun itu boleh dilihat di laman web YouTube di Internet.

GEMPAR BUAYA


MASJID TANAH: Orang ramai khususnya penduduk di Kampung Sungai Tuang Teluk Gong, kembali gempar apabila seekor buaya tembaga muncul secara tiba-tiba di kawasan pantai Teluk Gong, Pengkalan Balak, di situ selepas sekian lama tidak kelihatan.

Reptilia yang dianggarkan sepanjang 3.5 meter dan berwarna kuning keemasan itu dipercayai adalah buaya kedua muncul di situ selepas kali pertama, beberapa bulan lalu. Kehadirannya pada kira-kira jam 10.45 pagi itu menyebabkan kawasan berkenaan dipenuhi orang ramai.Sidang Kampung Sungai Tuang, Yahya Zakaria yang turut menyaksikan kemunculan reptilia itu berkata, sebelum ini beliau sendiri pernah mendengar mengenai perkara itu namun kurang mempercayainya. “Sebelum ini, saya memang tidak percaya dengan cerita penduduk. Sudah banyak kali mereka memberitahu tapi hari ini (minggu lalu) saya sendiri sudah melihat sendiri itu. Memang panjang dan agak menakutkan.

“Saya harap ia tidak akan mengganggu penduduk di sini dan pada masa sama, penduduk juga tidak mengganggu buaya ini. Tidak dapat dipastikan dari mana ia datang, yang pasti ia menimbulkan kebimbangan penduduk,” katanya.

Yahya berkata, kejadian penemuan buaya itu berlaku secara kebetulan ketika beliau dan beberapa penduduk kampung itu berada di pantai Sungai Tuang untuk melihat kerja pembinaan jalan di sepanjang kaki lima yang rosak akibat hakisan.

“Pada mulanya saya sangkakan sebatang kayu hanyut di tengah laut sebab jarang ada benda lain di permukaan pantai ini.
“Tapi lama-kelamaan hati saya rasa tak sedap dan selepas beberapa minit tiba-tiba benda panjang tadi menghampiri bibir pantai dan menampakkan rupa bentuknya yang sebenar kepada kami semua di sini,” katanya.

Yahya berharap pihak berkuasa, khususnya Perhilitan akan dapat mengambil tindakan segera bagi mengesan aktiviti reptilia terbabit di kawasan berkenaan.

Katanya, kehadiran buaya sememangnya sentiasa menarik perhatian ramai, namun ia mungkin boleh menimbulkan bahaya jika tidak ditangani dengan baik.

Penduduk, Faizal Khairuddin, 27, berkata, beliau pada mulanya melihat reptilia itu bergerak perlahan menyusur pantai dari arah pantai Telok Gong menuju ke Sungai Tuang, tidak jauh dari situ.

Katanya, kehadiran buaya ini memang menarik perhatian ramai seperti sebelum ini juga.

“Cuma kebimbangan kita, jika buaya ini tiba-tiba naik angin ia, boleh membahayakan orang ramai. Pihak berkuasa perlu berbuat sesuatu bagi menangani perkara ini,” katanya.

PAKU TERTUSUK DI KEPALA KUCING

BANDAR SIOUX, Amerika Syarikat (AS) - Seekor kucing masih hidup walaupun kepalanya ditusuk dengan paku di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Kucing yang tertusuk paku di kepalanya itu merayau-rayau semasa ia ditemui oleh anggota-anggota sebuah agensi kawalan haiwan selepas mereka mendapat maklumat mengenainya baru-baru ini.

"Saya tidak pernah melihat situasi itu seperti ini terutamanya apabila kucing tersebut masih hidup," kata seorang anggota sebuah agensi kawalan haiwan, Cindy Rarrat.

Dia berkata, paku itu mungkin ditembak dengan pistol paku oleh seorang individu.

Namun, seorang doktor berjaya menarik keluar paku sepanjang 7.62 sentimeter itu di sebuah klinik haiwan pada Jumaat lalu.

Pemilik kucing itu sedang dicari.

Tuesday, May 25, 2010

TRELER LEBAH BERLANGGAR

LAKEVILLE, Minnesota - Sejumlah anggota penyelamat menggunakan hos air untuk 'memadamkan' kemarahan lebah selepas sebuah treler yang membawa 12 juta ekor haiwan itu terlibat dengan kemalangan di sini kelmarin.

Pihak berkuasa menyatakan, sebuah treler yang mengangkut 7,000 sarang lebah terlibat dengan pelanggaran melibatkan empat buah kenderaan di sebatang lebuh raya kira-kira 56 kilometer ke selatan Minneapolis, Amerika Syarikat.

Ketika kejadian, treler itu dalam perjalanan ke syarikat pembekal madu lebah, Bauer Honey di barat laut Minnesota.

Menurut jurucakap Pasukan Rondaan Minnesota, Leftenan Eric Roeske, seorang terbunuh manakala seorang lagi dihantar ke hospital.

Sejumlah anggota perkhidmatan kecemasan disengat lebah itu. Hos itu digunakan untuk memastikan lebah tersebut melarikan diri ke tempat lain.

Lebuh raya itu dibuka semula pada petang semalam.