Monday, June 7, 2010

PRODUK MESRA ALAM

PELBAGAI barangan terkini keluaran Sanyo Electric Co. Ltd (Sanyo) dipamerkan semasa Persidangan Produk Asia Pasifik yang diadakan di Sentosa, Singapura baru-baru ini. Persidangan berkenaan mempamerkan hampir semua produk dan sistem Sanyo yang kebanyakannya telah menerima anugerah antarabangsa kerana reka bentuk dan persembahan. Ini termasuk sistem tenaga pintar (SES), kelengkapan rumah dan penyelesaian digital mewakili Sanyo dalam tiga domain utama iaitu tenaga, ekologi dan elektronik.

Ketua Pegawai Serantau Asia Pasifik Sanyo, Yoshinori Nakatani berkata, Sanyo memulakan dengan bisnes penyelesaian tenaga pada 2009 dan telah membawa kepada peningkatan dalam kesedaran jenama dan jualan. Sanyo telah bekerjasama dengan kedai serbaguna di Thailand menggunakan kamera litar tertutup, alat hawa dingin dan pameran.

"Sanyo kemudian melangkah maju menjadi peneraju dalam aplikasi penjimatan tenaga, alam sekitar dan gaya hidup, Sanyo akan terus mengembangkan bisnes penyelesaian tenaga bagi mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida (CO2)," katanya.

Selain itu Sanyo juga akan mengaplikasikan kemudahannya itu dalam pelbagai bangunan seperti kilang, sekolah, kedai dan rumah di rantau Asia. Pembangunan ekonomi di rantau berkenaan menyebabkan peningkatan bilangan kedai, pasar raya, pejabat dan kilang. Beliau menambah, kesedaran dalam isu alam sekitar Sanyo akan memberikan penekanan kepada perniagaan berkaitan tenaga dalam alam sekitar.

"Sebagai satu inisiatif bagi mendapatkan masyarakat dengan tenaga bersih, Sanyo akan meluaskan bisnes solar di Singapura dan rantau Asia Pasifik," katanya.

Januari lalu, sistem fotovoltaik terbesar di Singapura menggunakan modul solar heterojunction with intrinsic thin layer (HIT) telah digunakan di Universal Studio, Singapura. Ia telah diiktiraf sebagai hub bagi perkongsian maklumat dan dilihat sebagai barisan depan dalam eko teknologi dan inisiatif. Ini telah memberikan peluang kepada Sanyo untuk mempamerkan projek berkenaan sebagai yang pertama di rantau Asia Pasifik.

Pada April lalu, Sanyo telah mula memasarkan panel HIT ke Malaysia, Thailand dan India manakala lampu solar LED pada Julai depan. Sanyo juga akan menggunakan teknologi canggih dan mencipta produk khusus bagi keperluan penduduk di Asia Pasifik, memberikan penekanan bagi memastikan produknya akan mendapat permintaan menggalakkan.

"Rantau Asia Pasifik merupakan antara yang pasaran penting bagi Sanyo dan kami akan berterusan menghasilkan produk tenaga dan alam sekitar bagi memenuhi kehendak pasaran," katanya.

MAKAM 3300 TAHUN DITEMUI

KAHERAH - Sekumpulan arkeologi telah menemui makam berumur 3,300 tahun milik seorang datuk bandar, Ptahmes di Saqqara, selatan Kaherah, kata beberapa pegawai semalam.

Menurut pegawai-pegawai itu, beberapa pemburu harta karun telah mencuri beberapa hiasan di dinding makam berkenaan. Datuk bandar itu turut menjadi ketua tentera, penyelia perbendaharaan dan jurutulis diraja di bawah pemerintahan Seti I dan anaknya, Ramses II pada abad ke-13 Sebelum Tahun Masihi.

Penemuan itu pada awal tahun ini menyelesaikan misteri makam tersebut pada 1885 apabila sekumpulan ekspedisi asing menemuinya. Namun, lokasi asalnya tidak diketahui kerana makam tersebut diliputi pasir.

"Sejak ia diliputi pasir, tidak ada seorang pun yang mengetahui mengenainya," kata seorang profesor arkeologi di Universiti Kaherah, Ola el-Aguizy yang mengetuai kerja-kerja ekskavasi.

Sunday, June 6, 2010

PRESIDEN TERMISKIN

MONTEVIDEO - Presiden baru Uruguay, Jose Mujica mungkin menjadi salah seorang pemimpin paling miskin apabila beliau mengisytiharkan harta kekayaan miliknya ialah sebuah kereta Volkswagen Beetle.

Kereta itu berusia 23 tahun dan bernilai kira-kira AS$1,900 (RM6,220).

Menurut deklarasi hartanya, bekas pemimpin gerila itu tidak mempunyai akaun bank dan aset lain. Manakala sebuah ladang bunga yang kecil pula diletakkan atas nama isterinya.

Pendapatan yang dilaporkan dalam deklarasi itu hanya gajinya sebagai Presiden iaitu kira-kira AS$11,000 (RM36,014) sebulan.

Presiden tersebut memberikan 20 peratus daripada pendapatan bulanan itu kepada pergerakan politiknya.

Beliau yang berumur 75 tahun menjalani kehidupan dengan penuh kesederhanaan.

Gaya hidup Mujica berbeza dengan Naib Presidennya, Danilo Astori yang mengisytiharkan kekayaannya sebanyak AS$250,000 (RM818,499). Ini termasuk sebuah rumah dan kereta yang bernilai 10 kali ganda daripada kereta Volkswagen Beetle tersebut.

IKAN MATI LEMAS

PEKAN - Fenomena ribuan ikan mati dan terdampar di sepanjang 10 kilometer kawasan pesisiran pantai beberapa buah kampung di sini sejak dua minggu lalu menimbulkan kegemparan di kalangan penduduk.

Mereka bimbang melihat pelbagai spesies ikan seperti gelama, bawal dan senangin mati dalam jumlah yang banyak.

Antara kawasan pantai yang terlibat ialah Kampung Sungai Miang, Pantai Sepat hingga ke Merchong.

Seorang nelayan, Karim Abdullah, 77, berkata, dia dan beberapa rakannya terkejut dengan peristiwa itu kerana kejadian tersebut berlaku untuk satu tempoh yang agak panjang.

"Sepanjang saya menangkap ikan sejak berusia sembilan tahun, ini kali pertama saya tengok banyak ikan timbul sebelum mati di pantai selama dua minggu.

"Sebelum ini memang ada berlaku tetapi paling lama pun beberapa hari saja,'' katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Karim, mereka cuba mencari puncanya tetap tidak berjaya.

"Jika punca kematian ikan disebabkan tumpahan minyak, tiada pula tanda-tanda pada badan ikan diselaputi minyak,'' ujarnya.

Seorang lagi nelayan, Ismail Hassan, 52, bimbang kerana kejadian itu telah menjejaskan sumber rezekinya.

"Saya dan nelayan lain sukar untuk menangkap gelama kerana beribu ikan itu telah mati.

"Kalau nak ikutkan hati mahu saja kutip ikan-ikan gelama yang mati itu untuk dibuat ikan masin tapi timbul pula rasa takut ia mungkin beracun,'' ujarnya.

LINTAH GERGASI

PADANG BESAR - Penyelia tapak binaan, Mohd. Izman Ismail sudah lali bekerja dalam parit tetapi apa yang dialaminya di Semandong, dekat sini kelmarin pasti menjadikan dia lebih berhati-hati selepas ini.

Sewaktu turun ke dalam air bagi memeriksa kerja pemasangan parit tengah hari kelmarin, dia terdengar air berkocak dan terkejut besar apabila ternampak seekor lintah sebesar tapak tangan mengengsot ke arahnya.

"Saya ingatkan ikan,rupa-rupanya lintah tapi lintah yang jauh lebih besar daripada lintah kerbau yang biasa saya lihat," katanya ketika ditemui di sini semalam.