Friday, August 6, 2010

USTAZ DICEKUP KHALWAT

ALOR SETAR: Seorang ustaz berusia 39 tahun dicekup berkhalwat dengan seorang wanita yang juga isteri orang di sebuah hotel murah di Taman Teja, Changlun, dekat sini, tengah hari kelmarin.Lelaki itu ditahan sepasukan anggota Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu ketika ditemui bersekedudukan dalam sebuah bilik hotel itu kira-kira jam 1 tengah hari bersama wanita terbabit yang berusia 36 tahun.Serbuan itu turut dibantu sepasukan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di kawasan perumahan itu selepas mendapat maklumat mengenai kegiatan maksiat pasangan terbabit di hotel murah terbabit.

Difahamkan, lelaki itu sudah mempunyai isteri dan mempunyai lima anak yang masih kecil, manakala pasangannya mempunyai suami serta seorang anak.

Sumber berkata, ketika serbuan itu, pintu bilik hotel berkenaan dibuka seorang lelaki yang lengkap berpakaian dan dia terkejut apabila melihat kehadiran anggota penguatkuasa pejabat agama dan RELA serta membenarkan pemeriksaan dilakukan.

Katanya, hasil pemeriksaan itu, pihak berkuasa menemui seorang wanita yang berpakaian lengkap bersembunyi di bilik air dalam keadaan ketakutan.
“Ketika disoal siasat pasangan itu mengaku mereka hanya kawan biasa dan tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri.

“Berikutan itu, pasangan terbabit dibawa ke Balai Polis Changlun untuk dibuat laporan tangkapan,” kata sumber itu.

Sumber itu menambah, ketika disoal siasat lelaki itu enggan mengakui dia seorang ustaz, sebaliknya mendakwa bekerja sebagai petani dan jabatan agama sedang menyiasat lokasi ustaz terbabit mengajar.

Anggota penguatkuasa turut menemui ketayap yang dipercayai milik ustaz berkenaan yang disorokkan di bawah bantal dalam bilik hotel itu.

Siasatan juga mendapati mereka tinggal di kampung yang sama di Kuala Kedah.

Pasangan itu kemudian dibawa ke pejabat agama daerah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 9 (1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana disyaki berkhalwat. Bookmark and Share

KAMBING BERKAKI DUA


SHANDONG - Seekor kambing mempunyai dua kaki sejak dilahirkan di sebuah ladang di wilayah Shandong di timur China, lapor sebuah akhbar semalam. Pemilik haiwan itu yang merupakan seorang penternak kambing, Cui Jinxiu berusia 38 tahun menyatakan pada kebiasaannya dia akan menyembelih kambing muda.

Namun, dia tidak sampai hati untuk menyembelih kambing tersebut selepas melihat kesungguhan haiwan itu untuk terus hidup.

"Ia berdiri dengan menggunakan dua kakinya dan mula meminum susu ibunya. Saya tidak boleh biarkannya mati," jelas Jinxiu. Dia dan kambing yang seberat 4.98 kilogram ketika dilahirkan itu tidak dapat dipisahkan dengannya.

"Walaupun cuma mempunyai dua kaki, ia dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan berdiri dengan stabil. Ia mengikut saya ke mana sahaja," kata Jinxiu sambil ketawa. Pakar veterinar memberitahu kecacatan itu mungkin disebabkan oleh masalah genetik atau berpunca daripada pencemaran kimia.

Monday, June 7, 2010

PRODUK MESRA ALAM

PELBAGAI barangan terkini keluaran Sanyo Electric Co. Ltd (Sanyo) dipamerkan semasa Persidangan Produk Asia Pasifik yang diadakan di Sentosa, Singapura baru-baru ini. Persidangan berkenaan mempamerkan hampir semua produk dan sistem Sanyo yang kebanyakannya telah menerima anugerah antarabangsa kerana reka bentuk dan persembahan. Ini termasuk sistem tenaga pintar (SES), kelengkapan rumah dan penyelesaian digital mewakili Sanyo dalam tiga domain utama iaitu tenaga, ekologi dan elektronik.

Ketua Pegawai Serantau Asia Pasifik Sanyo, Yoshinori Nakatani berkata, Sanyo memulakan dengan bisnes penyelesaian tenaga pada 2009 dan telah membawa kepada peningkatan dalam kesedaran jenama dan jualan. Sanyo telah bekerjasama dengan kedai serbaguna di Thailand menggunakan kamera litar tertutup, alat hawa dingin dan pameran.

"Sanyo kemudian melangkah maju menjadi peneraju dalam aplikasi penjimatan tenaga, alam sekitar dan gaya hidup, Sanyo akan terus mengembangkan bisnes penyelesaian tenaga bagi mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida (CO2)," katanya.

Selain itu Sanyo juga akan mengaplikasikan kemudahannya itu dalam pelbagai bangunan seperti kilang, sekolah, kedai dan rumah di rantau Asia. Pembangunan ekonomi di rantau berkenaan menyebabkan peningkatan bilangan kedai, pasar raya, pejabat dan kilang. Beliau menambah, kesedaran dalam isu alam sekitar Sanyo akan memberikan penekanan kepada perniagaan berkaitan tenaga dalam alam sekitar.

"Sebagai satu inisiatif bagi mendapatkan masyarakat dengan tenaga bersih, Sanyo akan meluaskan bisnes solar di Singapura dan rantau Asia Pasifik," katanya.

Januari lalu, sistem fotovoltaik terbesar di Singapura menggunakan modul solar heterojunction with intrinsic thin layer (HIT) telah digunakan di Universal Studio, Singapura. Ia telah diiktiraf sebagai hub bagi perkongsian maklumat dan dilihat sebagai barisan depan dalam eko teknologi dan inisiatif. Ini telah memberikan peluang kepada Sanyo untuk mempamerkan projek berkenaan sebagai yang pertama di rantau Asia Pasifik.

Pada April lalu, Sanyo telah mula memasarkan panel HIT ke Malaysia, Thailand dan India manakala lampu solar LED pada Julai depan. Sanyo juga akan menggunakan teknologi canggih dan mencipta produk khusus bagi keperluan penduduk di Asia Pasifik, memberikan penekanan bagi memastikan produknya akan mendapat permintaan menggalakkan.

"Rantau Asia Pasifik merupakan antara yang pasaran penting bagi Sanyo dan kami akan berterusan menghasilkan produk tenaga dan alam sekitar bagi memenuhi kehendak pasaran," katanya.

MAKAM 3300 TAHUN DITEMUI

KAHERAH - Sekumpulan arkeologi telah menemui makam berumur 3,300 tahun milik seorang datuk bandar, Ptahmes di Saqqara, selatan Kaherah, kata beberapa pegawai semalam.

Menurut pegawai-pegawai itu, beberapa pemburu harta karun telah mencuri beberapa hiasan di dinding makam berkenaan. Datuk bandar itu turut menjadi ketua tentera, penyelia perbendaharaan dan jurutulis diraja di bawah pemerintahan Seti I dan anaknya, Ramses II pada abad ke-13 Sebelum Tahun Masihi.

Penemuan itu pada awal tahun ini menyelesaikan misteri makam tersebut pada 1885 apabila sekumpulan ekspedisi asing menemuinya. Namun, lokasi asalnya tidak diketahui kerana makam tersebut diliputi pasir.

"Sejak ia diliputi pasir, tidak ada seorang pun yang mengetahui mengenainya," kata seorang profesor arkeologi di Universiti Kaherah, Ola el-Aguizy yang mengetuai kerja-kerja ekskavasi.

Sunday, June 6, 2010

PRESIDEN TERMISKIN

MONTEVIDEO - Presiden baru Uruguay, Jose Mujica mungkin menjadi salah seorang pemimpin paling miskin apabila beliau mengisytiharkan harta kekayaan miliknya ialah sebuah kereta Volkswagen Beetle.

Kereta itu berusia 23 tahun dan bernilai kira-kira AS$1,900 (RM6,220).

Menurut deklarasi hartanya, bekas pemimpin gerila itu tidak mempunyai akaun bank dan aset lain. Manakala sebuah ladang bunga yang kecil pula diletakkan atas nama isterinya.

Pendapatan yang dilaporkan dalam deklarasi itu hanya gajinya sebagai Presiden iaitu kira-kira AS$11,000 (RM36,014) sebulan.

Presiden tersebut memberikan 20 peratus daripada pendapatan bulanan itu kepada pergerakan politiknya.

Beliau yang berumur 75 tahun menjalani kehidupan dengan penuh kesederhanaan.

Gaya hidup Mujica berbeza dengan Naib Presidennya, Danilo Astori yang mengisytiharkan kekayaannya sebanyak AS$250,000 (RM818,499). Ini termasuk sebuah rumah dan kereta yang bernilai 10 kali ganda daripada kereta Volkswagen Beetle tersebut.

IKAN MATI LEMAS

PEKAN - Fenomena ribuan ikan mati dan terdampar di sepanjang 10 kilometer kawasan pesisiran pantai beberapa buah kampung di sini sejak dua minggu lalu menimbulkan kegemparan di kalangan penduduk.

Mereka bimbang melihat pelbagai spesies ikan seperti gelama, bawal dan senangin mati dalam jumlah yang banyak.

Antara kawasan pantai yang terlibat ialah Kampung Sungai Miang, Pantai Sepat hingga ke Merchong.

Seorang nelayan, Karim Abdullah, 77, berkata, dia dan beberapa rakannya terkejut dengan peristiwa itu kerana kejadian tersebut berlaku untuk satu tempoh yang agak panjang.

"Sepanjang saya menangkap ikan sejak berusia sembilan tahun, ini kali pertama saya tengok banyak ikan timbul sebelum mati di pantai selama dua minggu.

"Sebelum ini memang ada berlaku tetapi paling lama pun beberapa hari saja,'' katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Karim, mereka cuba mencari puncanya tetap tidak berjaya.

"Jika punca kematian ikan disebabkan tumpahan minyak, tiada pula tanda-tanda pada badan ikan diselaputi minyak,'' ujarnya.

Seorang lagi nelayan, Ismail Hassan, 52, bimbang kerana kejadian itu telah menjejaskan sumber rezekinya.

"Saya dan nelayan lain sukar untuk menangkap gelama kerana beribu ikan itu telah mati.

"Kalau nak ikutkan hati mahu saja kutip ikan-ikan gelama yang mati itu untuk dibuat ikan masin tapi timbul pula rasa takut ia mungkin beracun,'' ujarnya.

LINTAH GERGASI

PADANG BESAR - Penyelia tapak binaan, Mohd. Izman Ismail sudah lali bekerja dalam parit tetapi apa yang dialaminya di Semandong, dekat sini kelmarin pasti menjadikan dia lebih berhati-hati selepas ini.

Sewaktu turun ke dalam air bagi memeriksa kerja pemasangan parit tengah hari kelmarin, dia terdengar air berkocak dan terkejut besar apabila ternampak seekor lintah sebesar tapak tangan mengengsot ke arahnya.

"Saya ingatkan ikan,rupa-rupanya lintah tapi lintah yang jauh lebih besar daripada lintah kerbau yang biasa saya lihat," katanya ketika ditemui di sini semalam.